10 Destinasi ini Selalu Mendapat Promosi Tiket Murah Dari AirAsia

0
6
views

Bagi seorang traveller atau pelancong yang ingin ke luar negara dengan bajet rendah, harga tiket penerbangan menjadi faktor keutamaan yang sangat tinggi. Hal ini kerana apabila berjaya mendapatkan tiket dengan harga murah, ia membantu menjimatkan kos perjalanan. Di negara kita, kewujudan syarikat penerbangan tambang murah telah membuka peluang untuk kita meneroka dunia luar dengan kos yang rendah. Banyak destinasi yang boleh kita sampai dengan harga yang murah. Tambahan pula, promosi penerbangan semakin rancak dilakukan seiring dengan perkembangan budaya travel di negara kita. Di dalam artikel kali ini, kami sedikit sebanyak telah menganalisis tentang destinasi yang selalu mendapat tawaran harga tiket murah dari AirAsia. Antara 10 destinasi yang selalu mendapat promosi harga ialah seperti berikut:

1. Medan – Kualanamu (KNO)

Medan merupakan kawasan tumpuan pelancong yang cukup popular terutamanya bagi rakyat Malaysia. Antara objek yang menjadi tarikan pelancong sudah tentunya Tasik Danau Toba dan Berastagi yang menyajikan pemandangan cukup indah. Promosi tiket murah ke sana ditawarkan dari Penang (PEN) dan KLIA (KUL). Anggaran harga tiket di luar sewaktu promosi adalah sekitar RM180 – RM250. Harga sewaktu promosi pula ialah RM80-RM120 untuk penerbangan pergi balik Penang ke Medan! Harga dari KLIA pula sekitar RM100-RM150 untuk dua hala.

2. Krabi (KBV)

Dianggap antara tempat tercantik di Thailand, Krabi semestinya menjadi lokasi yang penting dan popular di dalam kalendar pelancongan. Banyak aktiviti pelancongan berasaskan laut yang boleh didapati di sekitar Krabi seperti ‘island hopping’ di beberapa pulau serta ‘snorkeling’. Promosi tiket murah yang ditawarkan ialah sekitar RM140 – RM180 dari KLIA – Krabi – KLIA. Pada waktu biasa, harga tiket boleh mencecah RM200 ke atas.

3. Ho Chi Minh (SGN)

Terletak di selatan Vietnam, Ho Chi Minh sememangnya menjadi lokasi yang selalu dikunjungi oleh rakyat Malaysia. Antara sebab utama ia selalu dikunjungi ialah kerana menjadi tempat tumpuan borong terutamanya fabrik dan tekstil. Dalam masa yang sama, Ho Chi Minh juga mempunyai tempat tarikan pelancong seperti Sungai Mekong dan Cu Chi tunnels. Tiket pergi balik dari Penang ke Ho Chi Minh sewaktu promosi ialah RM160 – RM220. KLIA – Ho Chi Minh pula RM 200 – RM300 return. Pada waktu biasa, Harga ialah sekitar RM400 – RM600.

4. Siem Reap (REP)

Kompleks Angkor Wat dan Tasik Tonle Sap berada di provinsi ini. Oleh itu, tidak hairanlah sekiranya Siem Reap menjadi lokasi tumpuan pelancong. Tiket return sewaktu promosi ialah sekitar RM200-250 dari KUL ke REP. Manakala pada tarikh biasa, tiket menjangkau RM300 ke atas.

5. Osaka – Kansai (KIX)

Osaka merupakan destinasi percutian yang terkenal di negara matahari terbit. Hal ini kerana ia mempunyai banyak lokasi menarik yang boleh dilawati. Tambahan pula, ‘ground cost’ di sana agak murah berbanding di Tokyo. Antara tempat menarik yang boleh dikunjungi di Osaka ialah Osaka Castle, Amerikamura dan  Osaka Aquarium Kaiyukan. Tiket return ke Osaka sewaktu promosi ialah sekitar RM600 – RM750. Manakala sekiranya sewaktu bukan promosi, ia boleh menjangkau RM1000 ke atas.

6. Guangzhou (CAN)

Terkenal sebagai lokasi borong yang besar, ia sering menjadi tumpuan peniaga dan pelancong. Terletak di selatan China, Guangzhou merupakan pintu masuk kepada semua pemborong di serata dunia yang ingin memborong di China. Penerbangan ke Guangzhou juga banyak ditawarkan. Antaranya ialah melalui Langkawi, KLIA, Johor Baru dan Kota Kinabalu. Sekiranya anda tinggal di kawasan utara, cadangan terbaik ialah dengan menaiki penerbangan direct dari Langkawi (LGK) ke Guangzhou. Manakala jika di selatan anda boleh melalui Johor Baru (JHB) dan di Malaysia Timur pula ialah melalui Kota Kinabalu (BKI). Harga tiket return sewaktu promosi dari Langkawi ke Guangzhou ialah RM170 – RM300. Dari KLIA ialah sekitar RM300-RM470. Manakala dari JHB dan BKI ialah sekitar RM300-RM500. Tiket semasa bukan promosi pula boleh menjangkau RM600 hingga RM1000.

7. Xi’an (XIY)

Xian bukanlah tempat yang popular bagi rakyat kita jika dibandingkan dengan Beijing dan Guangzhou. Namun, ia tetap mempunyai tempat pelancongan yang popular seperti patung askar Terracotta serta Tembok kota Xi’an. Akses makanan halal agak mudah didapati kerana komuniti Muslim di sini agak ramai. Tiket sewaktu promosi ialah sekitar RM370 – RM450 iaitu dari KLIA – Xi’an – KLIA. Manakala sewaktu bukan promosi adalah sekitar RM700 – RM1200.

8. Busan (PUS)

Seperti lokasi pelancongan yang lain, Busan juga adalah destinasi yang sering mendapat promosi tiket murah dari AirAsia. Busan terkenal dengan pantainya yang cantik serta lokasinya yang tidak jauh dari Pulau Jeju. Anggaran harga tiket return sewaktu promosi ialah RM500 – RM700 dari KLIA ke Busan. Harga sewaktu bukan promosi pula ialah sekitar RM800 – RM1000.

9. Perth (PER)

Sudah bosan berjalan sekitar Asia? Jom travel di Oceania. Perth antara destinasi yang paling terkenal di Australia. Terletak di pantai barat Australia, ia sememangnya terkenal dengan muka bumi yang cantik dan kehidupan yang unik. Anggaran tiket return semasa promosi adalah sekitar RM415 – RM530. Tiket semasa bukan promosi pula biasanya ialah RM800 ke atas.

10. Hong Kong (HKG)

Menjadi sebahagian dari  gelaran ‘The Four Little Dragons’, Hong Kong adalah bandar yang sangat maju dan popular terutamanya kepada pelancong. Antara tarikan terbesar di sini tentunya ialah Hong Kong Disneyland. Anggaran tiket flight return semasa promosi ialah sekitar RM280 – RM400. Pada waktu biasa, tiket menjangkau RM600 – RM800.

 

~Pazen

@Team TravelLouva

Previous articleTentang TheFhaMedia
Next articleK.U.A.T
SHARE

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here