Isu Kedaulatan: 5 Peristiwa Paling Merugikan Dalam Sejarah Negara

0
2
views

Dalam sejarah negara, pelbagai peristiwa pahit manis telah dilalui. Antara yang paling memberikan kesan adalah kisah-kisah kerugian yang pernah dihadapi yang tentunya menjadi pengajaran besar pada kita. Berikut adalah antara peristiwa yang paling merugikan dalam sejarah negara :

1. Perjanjian Inggeris-Siam 1909

Jika diukur kepada kedaulatan kerajaan-kerajaan Melayu pada zaman dahulu, Semenanjung Melayu akan mengunjur melampaui titik sempadan moden dan berjarak sepanjang 1, 355 KM. Ini bermakna, ia merangkumi Segenting Kra di Thailand ke titik paling selatan tanah Asia iaitu Tanjung Piai, Malaysia. Namun setelah perjanjian ini dimeterai, ia memberi titik sempadan moden antara Siam (Thailand) dan Tanah Melayu (Malaysia) sehingga kini. Hal ini memberi masalah sosio-demografi kepada tamadun Melayu terutama di sekitar kawasan Pattani, Narathiwat dan Songkhla yang kini menjadi sebahagian dari wilayah selatan Thailand. Kawasan tersebut yang menjadi penempatan majoriti orang Melayu telah diletakkan tanpa rela di dalam kedaulatan Siam (Thailand). Perjanjian tersebut memberi kesan yang sangat besar kerana sebahagian tanah di kawasan utara Tanah Melayu telah dijajah dengan cara yang kejam dan licik. Hasilnya kini Semenanjung Malaysia hanya menjangkau jarak 748 KM. Sekurang-kurangnya, kita kehilangan kira-kira 600 KM panjang semenanjung kepada negara lain.

2. Perjanjian Inggeris-Belanda 1824

Perjanjian Inggeris-Belanda 1824 terbentuk apabila dua kuasa besar semakin sengit dalam persaingan tanah jajahan. Perjanjian ini juga adalah antara perjanjian yang sangat merugikan Tanah Melayu. Hal ini kerana di dalam perjanjian ini, kepulauan Melayu dibahagikan kepada dua lingkungan pengaruh. Hasilnya, Empayar Johor-Riau terpecah menjadi dua bahagian iaitu Singapura dan Johor berada di bawah British manakala Kepulauan Riau jatuh ke tangan Belanda. Setelah Indonesia merdeka dari Belanda, kedaulatan Kepulauan Riau telah menjadi milik Indonesia sehingga kini.

3. Kehilangan Pulau Batu Putih

Pulau Batu Putih menjadi pertikaian panas antara Malaysia dan Singapura. Masing-masing telah mengemukakan tuntutan  kepada Mahkamah Keadilan Antarabangsa pada tahun 2003. Hasilnya, pada tahun 2008, mahkamah memutuskan bahawa kedaulatan Pulau Batu Putih diberi kepada Singapura. Kehilangan kedaulatan ke atas Pulau Batu Putih memberi banyak pengajaran betapa pentingnya dokumentasi dan rekod penting tentang sejarah negara disimpan dengan rapi. Walaupun Malaysia masih diberi kedaulatan di kawasan Batuan Tengah, kehilangan Pulau Batu Putih tetap dirasai.

4. Pemisahan Singapura Dari Malaysia

Pemisahan Singapura dari Malaysia telah berlaku pada tahun 1965. Tunku Abdul Rahman telah mengumumkan Singapura keluar dari Persekutuan Malaysia ketika berada di London. Pemisahan ini berlaku hanya kira-kira 2 tahun selepas Singapura menyertai Persekutuan Malaysia. Punca utama Singapura dikeluarkan adalah disebabkan pemimpin parti utama di Singapura ketika itu iaitu Lee Kuan Yew banyak memainkan sentimen yang kurang sihat dan mengganggu keharmonian negara. Pemisahan tersebut menandakan sekali lagi Malaysia kehilangan tanah kedaulatannya.

5. Kehilangan Pulau Natuna

Kehilangan Pulau Natuna merupakan kehilangan tanpa sedar yang tragis. Jika dilihat di dalam peta, jelas geografi kepulauan Natuna berada di Malaysia. Namun, kedaulatan pulau itu sekarang adalah milik Indonesia. Dari sudut sejarah, adalah sangat jelas Pulau Natuna tidak mempunyai perkaitan besar dengan Indonesia. Perjanjian Inggeris-Belanda 1824 juga tidak menjelaskan dengan terperinci tentang Pulau Natuna. Hal ini menunjukkan bahawa kedaulatan Pulau Natuna masih lagi menjadi milik Johor yang berada di bawah pengaruh British. Tambahan lagi ia bertepatan dengan konsep utti possideti juris, iaitu konsep yang termaktub di dalam Undang-undang antarabangsa yang menerangkan bahawa sesuatu negara yang merdeka akan mewarisi segala tanah kedaulatan dari bekas penjajahnya. Indonesia telah memasukkan kawasan Natuna di dalam petanya pada tahun 1956. Disebabkan wujudnya konfrontasi Indonesia-Malaysia, kerajaan pada waktu tersebut mungkin terlepas pandang tentang isu tersebut. Sehingga kini, kedaulatan Pulau Natuna masih menjadi milik Indonesia. Adalah sukar untuk Malaysia mengemukakan tuntutan hak kedaulatan ke atas Pulau Natuna disebabkan tiada bantahan dari Malaysia sejak 1956 ke atas kedaulatan tersebut.

 

Bagi sebuah negara yang berdaulat, kehilangan hak kedaulatan di sesebuah kawasan adalah perkara yang harus dielakkan daripada berulang. Jika dilihat kembali kepada sejarah kedaulatan, Malaysia telah kehilangan beribu-ribu kilometer persegi disebabkan campur tangan asing, kelemahan dalam menangani isu kedaulatan serta hilangnya sifat bersatu padu antara satu sama lain. Semoga isu kedaulatan dapat dititikberatkan dengan baik oleh pemerintah agar Malaysia tidak lagi kehilangan wilayahnya.

Sumber Rujukan:

Wikipedia.com

www.mstar.com.my

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here