Ulasan Filem ARRIVAL – Filem Ini Bukan Untuk semua?

0
1
views

Ini dia ulasan saya tentang filem ARRIVAL Saya beri 4/5 untuk filem ini. Beberapa biji kopi gergasi didapati terapung-apung di beberapa buah lokasi di serata dunia..haha gurau.

Beberapa buah objek gergasi yang misteri dipercayai kapal angkasa makhluk asing muncul secara tiba-tiba di 12 lokasi berbeza di serata dunia. Salah satu tempatnya di Amerika (biasalah ni). Seluruh dunia menjadi panik dan tertanya-tanya. Siapa mereka, apa tujuan mereka datang, adakah ini rombongan meminang? Jika benar, siapa bakal pengantin lelaki? Banyak persoalan timbul.

Seorang Ahli/Pakar Bahasa lakonan Amy Adam (Man of Steel) dengan bantuan seorang Ahli/Pakar Sains lakonan Jeremy Renner (The Avengers) diminta oleh kerajaan dan tentera amerika yang diketuai oleh Forest Whitaker (Rogue One) untuk berkomunikasi dengan Alien yang mereka gelar Heptapod bagi mengetahui matlamat sebenar Hepatapod itu datang ke bumi walaupun bumi tak pernah mengadakan jemputan Tahun Melawat Bumi.

“Filem ini fokus pada kesungguhan seorang pakar bahasa yang mahu berkomunikasi sebaik mungkin dengan alien dan….”

Yang saya suka

Jika filem Rogue One mengingatkan saya mengapa saya suka filem Sci-fi, filem ini mengesahkan lagi fakta bahawa saya memang gemarkan filem genre Fiksyen Sains. Filem ini adalah filem yang minta penontonnya berfikir dan saya pasti anda keluar panggung dengan pelbagai persoalan dan tanda tanya. Sebuah filem yang banyak mengajar dan saya suka filem yang memberi kita input atau ilmu tak kiralah ilmu yang ringan atau berat. Filem ini fokus pada kesungguhan seorang pakar bahasa yang mahu berkomunikasi sebaik mungkin dengan alien dan dia juga tak mahu kesilapan kecil seperti silap faham bahasa itu mengakibatkan peperangan besar yang tak perlu.

Persembahan lakonan yang mantap dari pelakon-pelakon yang memang dah banyak pengalaman dengan filem berkaitan alien. Penyampaian cerita yang unik serta menarik. Mesej kemanusiaan yang disampaikan juga bagus. Jika filem District 9 cerita tentang alien yang ada sifat kemanusiaan lebih dari seorang manusia, cerita ini pula menunjukan bagaimana alien menyatukan umat manusia.

Yang saya tak suka

Seperti tajuk post ini, saya tekankan sekali lagi filem ini memang bukan untuk semua. Filem ini dipersembahkan dengan tempo perlahan dan sarat dengan pelbagai informasi. Saya kira filem ini sengaja berbuat begitu untuk memberi masa penonton menikmati dan memahami apa yang cuba disampaikan. Penyampaiannya juga bukan dengan cara tipikal seperti kita biasa lihat. Kebiasaaannya cerita disampaikan secara linear, ada permulaan dan pengakhiran tetapi filem ini tidak begitu. Ada penonton yang tidak suka filem yang rumit begini tetapi tak kurang juga yang gemar filem sebegini.

Jangan masuk panggung dengan mengharapkan sebuah filem tipikal perang antara alien menentang manusia seperti Independant Day kerana anda akan kecewa. Filem ini menunjukan apa yang perlu dibuat untuk halang perang sebegitu berlaku. Bagi penggemar filem genre sebegini pasti terhibur merungkai misteri berkaitan teori masa yang diselitkan dalam filem ini.

“Jika anda mampu melihat masa depan, adakah anda akan berusaha untuk mengubahnya?”

***

Tentang Penulis

Khairil Kamarudin | Penulis merupakan Seorang penulis buku, Penganalisis Filem, Penggiat Teater dan yang terbaru beliau dinobatkan sebagai PELAKON LELAKI TERBAIK, Festival Teater Malaysia 2016.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here