Ulasan Filem LOGAN : Mesej Kekeluargaan Dari Sisi Pakcik Mutan!

0
31
views

Filem Kekeluargaan Yang Tidak Sesuai Untuk Seisi Keluarga.

Jika anda rasa menjaga seorang warga emas dan seorang budak bawah umur itu susah, cuba lakukannya dengan warga emas dan juga anak kecil yang mutan.

Ini adalah ulasan filem LOGAN (2017). Saya berikan 8/10 bintang.

Sinopsis.

Logan (Hugh Jackman) ataupun Wolverine menyara hidup dengan perkhidmatan UBER terpaksa menjaga seorang mutan yang sudah uzur bernama Charles Xavier (Patrick Steward) ataupun Professor X yang merupakan bekas pengetua sekolah khas untuk mutan. Walaupun hidup serba daif di dalam persembunyian, mereka hidup dengan aman sehinggalah muncul seorang kanak-kanak perempuan bernama Laura (Dafnee Keen). Laura pula sedang diburu oleh sebuah organisasi jahat dan Logan perlu membawanya ke sebuah tempat bernama Eden untuk memastikan dia selamat.

Apa Yang Patut Disukai.

Filem ini berlatarkan masa hadapan (2029) sewaktu X-Men sudah tidak wujud  lagi. Logan bukan lagi Wolverine yang dulu. Dia sudah semakin tua dan juga mempunyai masalah kesihatan. Apa yang menarik, filem ini mengambil sudut realiti bagaimana bekas anggota pasukan superhero yang menjalani kehidupan mencari nafkah untuk meneruskaan sisa kehidupannya seperti manusia biasa (atau sekurang-kuranya dia cuba).

Aspek kekeluargaan yang disentuh juga disampaikan dengan baik. Filem ini memaparkan kesulitan Logan didesak menjadi contoh bapa yang baik kepada seorang kanak-kanak yang dia baru sahaja kenali, sedangkan dia sendiri merasakan dirinya bukanlah seorang manusia yang baik apatah lagi mahu menjadi seorang bapa.

Aksi yang dipaparkan juga amat memuaskan. Hugh Jackman seperti biasa memberikan kita aksi pergaduhan ganas ala wolverine walaupun tidak sempurna kerana kondisi watak beliau yang sudah tua di dalam filem ini tetapi kita terhibur juga melihat dia beberapa kali dibelasah. Persembahan pelakon muda Dafnee Keen pula amat memberansangkan! Kita bukan sahaja dapat melihat seorang kanak-kanak berwajah cantik dan bersih beraksi seganas Wolverine, malah lebih pantas dan hebat lagi!

Yang Mungkin Tidak Disukai.

Tidak dinafikan, pasti ramai pengemar filem superhero akan tertarik ke panggung untuk menonton filem ini. Bagi yang mengharapkan sebuah filem seorang superhero dengan konflik tipikal pasti akan merasa sedikit kecewa. Ini bukanlah filem seorang superhero berlawan dengan seorang atau dua supervillain, sememangnya bukan.

Filem ini fokus pada seorang pakcik mutan yang terpaksa menjaga seorang mutan tua dan seorang budak perempuan mutan yang ganas ketika mereka sedang diburu. Filem ini juga dilihat banyak bermain dengan emosi penonton apabila kerap menyentuh aspek kekeluargaan secara turun dan naik.

Kesimpulan.

Secara mudah, filem ini sebuah filem superhero bertemakan keluarga dari sisi kehidupan mutan yang memang tidak sesuai ditonton oleh sesisi keluarga kerana aksi pergaduhan yang ganas. Bagi yang mahu mencari kelainan dari sebuah filem superhero silakan menonton. Bagi yang minat aksi Hugh Jackman sebagai wolverine juga digalakan menonton filem ini kerana dikhabarkan ini filem terakhir beliau sebagai Wolverine. Mungkin selepas ini Wolverine mampu menari dan menyanyi, atau malah lebih emosi…siapa tahu.

***
Penulis merupakan penganalisis dan pengulas filem yang mempunyai sisi pandang yang kritis lagi sempoi!  Keep in touch dengan beliau di : FB khairilkamarudin

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here